Sunday, August 25, 2013

56 Tahun Kemerdekaan

Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 56 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

Saturday, August 24, 2013

Kemerdekaan 2013

Gambar Logo Dan Tema Hari Kemerdekaan 2013 ke 56 beserta maksud. Negara Malaysia akan menyambut Hari Merdeka pada setiap 31 Ogos ini bagi memperingati kebebasan Malaysia dari penjajahan asing. ‘Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku’ akan menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56 pada 31 Ogos 2013.
Tema Slogan Hari Kemerdekaan 2013
Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’ 
Gambar Logo Tema Hari Kemerdekaan 2013


Maksud Logo Dan Slogan Hari Kemerdekaan 2013
Tema itu lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa. Tema ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara. Konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.




Tun Dr.Mahathir Mohamad(Bapa Pemodenan)


Tun Dr. Mahathir bin Mohamad adalah antara tokoh politik yang berpengaruh dan gemar membuat keputusan yang di luar kebiasaan. Beliau pernah memutuskan tambatan Ringgit dengan matawang Dollar Amerika dalam keadaan ramai yang sangsi dengan keberkesanan dasar itu.
Ramai anak muda hari ini kurang mengenali beliau. Ada yang gemar mencerca sedangkan mereka tidak pun tahu apakah salah Tun. Ada juga yang suka melambung-lambung dan memuji Tun tanpa mengenalinya dengan mendalam. Sewajarnya kita harus mengetahui biodata tokoh ini sebagai teladan dan peringatan.
Tun Mahathir Mohamad dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Sejak kecil Mahathir ditimang dengan nama ‘Che Det’.
Beliau merupakan anak bongsu di kalangan sembilan orang adik-beradik. Tun Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.
Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.


BIODATA RINGKAS TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Nama:
Mahathir bin Mohamad
Tempat Lahir :
Alor Setar, Kedah, Malaysia
Nama Ayah :
Mohamad Bin Iskandar
Tarikh Lahir :
20 Disember 1925
Nama Isteri :
Tun Dr Siti Hasmah Bt Mohd Ali
Anak:
Marina, Mirzan, Melinda. Mokhzani,Mukhriz,Maizura and Mazhar
Kerjaya:
Open first Malay clinic at Alor Setar, known as Clinic Maha
Pendidikan Tinggi:
King Edward VII College of Medicine, Universiti
Malaya, Singapura, Graduated in MBBS 1953
Menteri Pelajaran:
1974
Naib Presiden UMNO:
1981
Dilantik Perdana Menteri:
16th Julai 1981
Letak Jawatan:
31th Oktober 2003

'
"Kita mampu mentadbir negara ini dan kita berupaya menangkis usaha untuk menjajah kita semula menerusi takanan ekonomi. Mari kita sama-sama berikrar untuk terus mempertahankan kemerdekaan demi bangsa, negara dan agama."