Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 telah ditulis dalam dua
bahasa iaitu bahasa Melayu yang ditulis Jawi dan bahasa Inggeris.
Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan yang telah di
alih ke versi rumi.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala
puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian
Rasul-Nya.
Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan
Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama
setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.
Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya
Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia
Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah
dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan,
Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang
dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari
bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi
negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua
pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah
daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan
takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak
menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut
itu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua
pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan
segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia
Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang
daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai
daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda
Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun
Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.
Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen,
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan
Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah
meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat
kuasanya.
Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad
baginya.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut
itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan
keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan
sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan
damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang
Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan
oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu
undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan
undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan
ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang,
dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari
bulan Ogos tahun 1957.
Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah,
Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini
memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu
bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima
Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor,
Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak,
Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan
kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan
kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan
kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.