Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 merupakan
saat bermulanya penentangan orang Melayu terhadap penjajahan kuasa luar.
Selepas Belanda mengalahkan Portugis dan menduduki Melaka pada tahun 1641,
perjuangan menentang penjajah oleh pemerintah dan rakyat tempatan berterusan
seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada
ketika ini, lahirlah tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun
1784 menentang Belanda sehingga beliau akhirnya terkorban di Telok Ketapang.
Kehadiran British ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1786
telah menyemarakkan lagi usaha penentangan orang Melayu terhadap penjajah
terutama apabila British mula mencampuri urusan pentadbiran tempatan.
Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu malah juga di
Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-British memperlihatkan gelombang
penentangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Penghulu Dol Said
di Naning, Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti dan Yamtuan Tunku Antah di
Sungai Ujong, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah di Perak,
Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Raja
Mahadi di Selangor, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku
Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor
di Sarawak serta Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah.
Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun semangat juang
mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan tanah air wajar disanjung.
Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran
wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata pena. Arus
kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh tokoh-tokoh
lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-20. Antaranya, Sheikh
Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Muhammad Akil, Sheikh Awad Saidin
dan Haji Abas Taha. Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta
Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.
Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa
orang tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera
seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Harun Muhammad Amin, Abdul Hadi bin
Hassan, Burhanuddin Al-Helmi dan Abdul Rahim Kajai. Dalam perkembangan
seterusnya menyaksikan beberapa buah parti politik dan persatuan yang
ditubuhkan bagi melahirkan gerakan penentangan yang lebih bersepadu.
Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941
dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula Februari
1942 hingga September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman yang pahit
kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar
terhadap persekitaran dan perkembangan yang berlaku. Jepun turut menyemaikan
semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu supaya membenci British
melalui cerapan ideologi ’Asia Untuk Asia’.
Arus kebangkitan semangat nasionalisme peringkat kedua telah
diperlihatkan melalui gerakan penentangan hebat terhadap Malayan Union yang
diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946 setelah British mengambil alih
semula pentadbiran Tanah Melayu dari tangan Jepun. Penubuhan PEKEMBAR (UMNO)
pada 11 Mei 1946 menggabungkan suara pertubuhan-pertubuhan Melayu untuk bangkit
menentang Malayan Union. Penentangan secara bersepadu ini telah membuahkan
hasil apabila Malayan Union dibubarkan. Persekutuan Tanah Melayu telah
diisytiharkan pada 1 Februari 1948.
Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn kepada Tunku Abdul
Rahman dilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme peringkat ketiga
iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Serentak itu, slogan ’Hidup
Melayu’ diubah kepada ’Merdeka’ sesuai dengan perubahan matlamat perjuangan
UMNO. Sebagaimana ucapan Tunku Abdul Rahman Putra di Persidangan Agong Pemuda
UMNO pada 3 April 1953, ”cogan Hidup Melayu bermakna kita sedia duduk di bawah
naungan British dan berjuang untuk menyelamatkan kedudukan bangsa kita serta
merebut kelebihan bangsa kita dengan belas rahim British. Tetapi slogan Merdeka
itu bermakna kita bebaskan diri kita dari naungan British dan berdiri di atas
kaki kita sendiri. Bagi menyelamat dan mendapatkan kelebihan-kelebihan untuk
bangsa kita, terpulanglah kepada kita sendiri dan tidak lagi berharapkan belas
rahim British lagi”.
Perjuangan menuntut kemerdekaan diperteguhkan dengan
permuafakatan melalui PERIKATAN di antara orang-orang Melayu, Cina dan India di
bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Paduan tenaga setiap golongan masyarakat
dalam ruang lingkup yang tersendiri seperti guru, wartawan dan penulis,
ahli-ahli politik dan juga pihak istana semakin membakar semangat dan
memperteguhkan lagi tekad untuk segera mendapatkan kemerdekaan bagi negara ini.
Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan-desakan para
pejuang maka pada awal tahun 1956, rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku
Abdul Rahman Putra telah berangkat ke London bagi mengadakan rundingan
dengan pihak British. Rundingan ini membawa kepada termeterainya perjanjian
kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956. Kepulangan rombongan ini
disambut meriah di Melaka. Padang Banda Hilir, Melaka menjadi saksi pada 20
Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan Tanah Melayu akan merdeka pada 31
Ogos 1957. Kemerdekaan negara amat unik kerana ia dicapai melalui meja
rundingan tanpa melibatkan penumpahan darah.
Nyatalah, kemerdekaan yang dikecapi kini perlu dipertahankan
kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Perjuangan menuntut
kemerdekaan negara terpaksa melalui ranjau penuh duri dalam tempoh yang amat
panjang. Justeru, semangat dan pengorbanan para pejuang lalu perlu dijadikan
wadah untuk kita menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan
negara tercinta.