Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya
setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki
dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah
Melayu sebagai sebuah koloni.
Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada
Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946.
Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata
khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan
dan kesetiaan mereka terhadap negara.
Perjanjian
Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 berjaya
mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak
keistimewaan dan hak kewarganegaraan.
Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan
hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta
menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris
memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu
termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan
Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab
Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh
tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik
Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.
Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah
pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam
kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor
Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan
ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat,
memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan
memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan
institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada
Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948
yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja,
hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya
membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu
Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu,
Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai
oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu
serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat
Undangan Persekutuan.
Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang
lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai
dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen
diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan
diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara
permohonan.
Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat
untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang
terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail,
Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan.
Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang
meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka
lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak
kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan
sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai
secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511)
dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela,
Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji
Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860),
Rentap (1853) dan sebagainya.
Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar
awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi,
Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung
Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di
Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari
Sultan Idris Training College.
Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan
mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan
Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai
perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah
Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji
Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga
sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan.
Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia
telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.