Friday, August 23, 2013

Perpaduan Tonggak Kemerdekaan


Dato' Hussein Bin Dato' Onn mengambil alih teraju kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri pada 15 Januari 1976 selepas kembalinya Tun Abdul Razak Bin Dato' Hussein ke rahmatullah. Beliau berkata dalam ucapan sulungnya, "Kerajaan telah melancarkan program pembangunan melalui satu demi satu rancangan, untuk memenuhi aspirasi rakyat mencapai matlamat penting iaitu, keamanan, kemakmuran, kebahagiaan dan keadilan. Hasil daripada rancangan-rancangan itu, saya percaya, rakyat telah dapat merasa nikmat kemerdekaan itu, sedikit sebanyaknya".
Sejajar dengan semangat toleransi dan permuafakatan, sambutan kemerdekaan telah disambut dengan garis-garis kemesraan antara kaum. Rakyat digesa mempertingkatkan ketahanan diri dan bersatu agar lebih maju. Memahami persekitaran dan adat resam kaum lain menjadi tonggak perpaduan. Beliau menekankan aspek rukun tertangga yang menjadi wadah penting untuk mengeratkan hubungan masyarakat. Dato' Hussein Onn sangat menitikberatkan soal perpaduan dan beliau berusaha keras untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang tidak lagi dikenal berdasarkan faktor bangsa dan ekonomi. Tanpa mengabaikan aspek pembangunan negara, Dato' Hussein Onn sentiasa mengigatkan rakyat supaya sentiasa berjimat cermat dan menguruskan ekonomi dengan baik.

Dalam bidang pendidikan, bahasa kebangsaan sekali lagi mendapat kedudukan yang sewajarnya apabila Dato' Hussein Onn mewajibkan lulus bahasa melayu sebagai syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Beliau berkata, "Saya lebih rela tidak popular diri dari segi politik daripada gagal dalam melaksanakan tugas saya. Apalah masa depan poltik seseorang berbanding dengan tanggungjawabnya". Kata-kata beliau itu menunjukkan pendirian tegasnya untuk membentuk negara yang bersatu padu.