Friday, August 23, 2013

Pemodenan Negara Merdeka


Kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi oleh negara telah menjadi pemangkin kepada kemajuan dan pemodenan negara. Tanggal 16 Julai 1981 merupakan permulaan episod kepimpinan seorang lagi Perdana Menteri yang berdedikasi mentadbir negara iaitu Tun Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Sepanjang 22 tahun perkhidmatannya, beliau telah berjaya mempertingkatkan pembangunan negara yang pada asalnya berasaskan ekonomi pertanian kepada ekonomi perindustrian.
Tun Dato' Seri Dr. Mahatnir Mohamad telah memperkenalkan dasar-dasar baru negara yang matlamat utamanya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang moden dan membangun. Antaranya ialah 'Dasar Pandang Ke Timur' tahun 1982 bertujuan untuk mencontohi budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea yang maju, 'Dasar Pensyarikatan Malaysia' tahun 1983 bagi menjana kerjasama antara sektor awam dan swasta, ' Dasar Perindustrain Negara' tahun 1986 bagi meningkatkan taraf ekonomi negara, 'Dasar Pembangunan Nasional' tahun 1991 sebagai lanjutan kepada Dasar Ekonomi Baru dan 'Wawasan 2020' tahun 1991 yang menetapkan matlamat Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Beliau berkata. "Wawasan 2020 boleh tercapai jika rakyat Malaysia bergerak bersama-sama sebagai satu Bangsa Malaysia, tanpa ada halangan psikologi atau halangan lain diantara masyarakat, melalui usaha yang penuh daya saing, dinamik, kuat dan pantas".
Kejayaan demi kejayaan dilakar dan dicapai hasil daripada perancangan teliti pihak kerajaan di bawah pimpinan Tun Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad baik dari segi prasarana mahupun perindustrian. Banyak lagi pencapaian turut dilakarkan dalam lipatan sejarah negara oleh anak-anak Malaysia berjiwa merdeka demi mengharunkan nama negara Malaysia.