Sunday, August 25, 2013

56 Tahun Kemerdekaan

Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 56 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

Saturday, August 24, 2013

Kemerdekaan 2013

Gambar Logo Dan Tema Hari Kemerdekaan 2013 ke 56 beserta maksud. Negara Malaysia akan menyambut Hari Merdeka pada setiap 31 Ogos ini bagi memperingati kebebasan Malaysia dari penjajahan asing. ‘Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku’ akan menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56 pada 31 Ogos 2013.
Tema Slogan Hari Kemerdekaan 2013
Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’ 
Gambar Logo Tema Hari Kemerdekaan 2013


Maksud Logo Dan Slogan Hari Kemerdekaan 2013
Tema itu lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa. Tema ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara. Konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.




Tun Dr.Mahathir Mohamad(Bapa Pemodenan)


Tun Dr. Mahathir bin Mohamad adalah antara tokoh politik yang berpengaruh dan gemar membuat keputusan yang di luar kebiasaan. Beliau pernah memutuskan tambatan Ringgit dengan matawang Dollar Amerika dalam keadaan ramai yang sangsi dengan keberkesanan dasar itu.
Ramai anak muda hari ini kurang mengenali beliau. Ada yang gemar mencerca sedangkan mereka tidak pun tahu apakah salah Tun. Ada juga yang suka melambung-lambung dan memuji Tun tanpa mengenalinya dengan mendalam. Sewajarnya kita harus mengetahui biodata tokoh ini sebagai teladan dan peringatan.
Tun Mahathir Mohamad dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Sejak kecil Mahathir ditimang dengan nama ‘Che Det’.
Beliau merupakan anak bongsu di kalangan sembilan orang adik-beradik. Tun Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.
Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.


BIODATA RINGKAS TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Nama:
Mahathir bin Mohamad
Tempat Lahir :
Alor Setar, Kedah, Malaysia
Nama Ayah :
Mohamad Bin Iskandar
Tarikh Lahir :
20 Disember 1925
Nama Isteri :
Tun Dr Siti Hasmah Bt Mohd Ali
Anak:
Marina, Mirzan, Melinda. Mokhzani,Mukhriz,Maizura and Mazhar
Kerjaya:
Open first Malay clinic at Alor Setar, known as Clinic Maha
Pendidikan Tinggi:
King Edward VII College of Medicine, Universiti
Malaya, Singapura, Graduated in MBBS 1953
Menteri Pelajaran:
1974
Naib Presiden UMNO:
1981
Dilantik Perdana Menteri:
16th Julai 1981
Letak Jawatan:
31th Oktober 2003

'
"Kita mampu mentadbir negara ini dan kita berupaya menangkis usaha untuk menjajah kita semula menerusi takanan ekonomi. Mari kita sama-sama berikrar untuk terus mempertahankan kemerdekaan demi bangsa, negara dan agama."


TUN SIR HENRY H.S LEE


Ketokohan, pengorbanan dan jasa Tun Sir Henry H.S. Lee dalam mencapai perpaduan kaum dan kemerdekaan
negara amat terserlah dan perlu dikenang selama-lamanya. Beliau memainkan peranan yang penting dalampenubuhan MCA, perancang utama penubuhan perikatan UMNO-MCA, penentang komunis di zaman darurat dan merupakan pejuang negara semasa menuntut Kemerdekaan Malaya. Apabila Malaya merdeka, beliau telah dilantik
sebagai Menteri Kewangan antara tahun 1957 hingga 1959. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau telah menjadi salah satu kebanggaan negara.

Serba-sedikit tentang beliau...
Sepanjang hayatnya, Tun H.S.Lee menyimpan setiap cebisan kecil kertas dengan teratur.


Seperti yang diperkatakan anak sulung mendiang, Douglas: "Bapa kami ialah seorang penyorok. Dia tidak pernah membuang apa-apa dan melihat semua benda berharga waima resit letak kereta bernilai 20 sen.

Tun Lee, salah seorang pengasas MCA dan Parti Perikatan, hidup pada waktu yang penting. Apa yang mengejutkan ialah dia tidak menulis autobiografinya.

Seorang anak lelaki, Thomas menambah: "Kami menawarkan untuk mendapatkan khidmat penulis selain merakamkan perbualan serta memori. Dia tidak memberikan sebarang sebab tetapi dia tidak akan berbuat demikian".

Bagaimanapun, ini tidak bermakna semua maklumat hilang begitu sahaja. Sekarang, 22 tahun selepas kematiannya, 180,000 kertas persendirian berkaitan Tun Lee boleh diperolehi untuk tatapan umum.

Anak-anaknya, Datuk Douglas Lee, 87, dan Datuk Thomas Lee, 72, menyerahkan kertas tersebut pada Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura pada 5 Mei. Anak ketiga, George, tidak dapat hadir ke majlis tersebut.

Berikutan pendermaan tersebut, Douglas berkata, satu bebanan dapat diasingkan dari bahu mereka kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan koleksi besar bapa mereka.

Koleksi tersebut disimpan dalam lebih 140 kotak di bilik stor rumahnya di Kuala Lumpur.Satu perjumpaan pada 2003 menggerakkan satu siri peristiwa sehingga kertas itu disimpan di Iseas.

Ahli sejarah, Dr Lee Kam Hing masih ingat bagaimana dia mengingatkan Douglas jangan sesekali membuang dokumen yang kurang penting seperti bil dan resit.
Tun H.S. Lee (kiri) bersama Tun Tan Siew Sin yang menggantikannya sebagai Menteri Kewangan pada 1959.

"Saya memberitahu ahli keluarga bahawa setiap cebisan maklumat resit dan bil adalah penting.

"Ini kerana resit dan bil dapat memberitahu kita berapakah kos kehidupan dan bagaimana kehidupan sosial ketika itu." ujarnya.

Dr Lee membantu Douglas berkomunikasi dengan pustakawan Iseas, Ch'ng Kim See yang terbang ke Malaysia untuk menasihatkan keluarga itu tentang pengindeksan dokumen.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Iseas, Prof Wang Gungwu memberitahu kemurahan keluarga Lee telah membantu pihaknya memahami satu tempoh masa yang kritikal dalam sejarah negara, dari 1945 hingga 1960.

"Kehidupan Tun H.S.Lee belum diceritakan sepenuhnya."

Satu persidangan antarabangsa tentang Lee telah dirancang diadakan pada tahun depan di Iseas.

Daripada Timah Ke Politik

Henry Lee Hau Sik dilahirkan di Hong Kong pada 1901 dan belajar di Cambridge, Britain. Di situlah beliau mengenali bakal King George VI.

Lee datang ke Malaya pada 1924 untuk mencari peluang perniagaan terutamanya perlombongan.

Masanya di Malaya adalah penuh dengan peristiwa. Beliau terlibat dalam politik Kuomintang dan aktiviti anti-Jepun. Semasa Perang Dunia Kedua, Lee melarikan diri ke India bersama keluarganya kerana pihak Jepun ingin membunuhnya.

Beliau mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai kolonel dalam pasukan tentera Cina yang kemudian ditempatkan di Burma.

Beliau turut dilantik sebagai kolonel dalam pasukan tentera Britian di India semasa zaman peperangan. Beliau menjadi pengantara antara dua Pihak Berikat itu.

Lee memainkan peranan penting dalam membentuk satu pakatan pilihan raya dengan Umno pada 1952, yang kemudiannya menjadi Parti Perikatan (sekarang Barisan Nasional).

Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan Perikatan yang diketuai Tunku Abdul Rahman yang terlibat dalam perundingan untuk mendapatkan kemerdekaan di London pada 1956.

Beliau adalah satu-satunya penandatanganan Cina untuk perjanjian kemerdekaan Malaya.

Lee ialah Menteri Pengangkutan dari 1953 hingga 1956 dan dilantik sebagai Menteri Kewangan pertama untuk Persekutuan Malaya pada 1957. Dua tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan ekoran kesihatannya merosot.

Selain itu, beliau turut berperanan menubuhkan Malayan (kemudian Malaysian) Chinese Association pada 1949, dengan bantuan kumpulan perniagaan Cina dan ahli pendidikan.

Menurut Thomas, Lee juga dikenali sebagai seorang pemimpin terkenal di kalangan komuniti Guangdong dan Gaozhou.

"Saya terkejut apabila seseorang menghampiri saya dan memperkenalkan dirinya berasal dari Guangdong. Dia berkata keluarganya berasal dari Raub yang didiami banyak orang Gaozhou. Dia beritahu saya sehingga hari ini, penduduk di situ masih mengenali Lee Hau Shik."

Lee mengasaskan atau terlibat secara aktif dalam pelbagai institusi dan organisasi termasuk Bank Negara Malaysia, Hospital The Lady Templer, China Press, Majlis Olimpik Malaysia dan Persatuan Golf Malaysia.

Selepas bersara pada 1959, Lee menubuhkan Bank Pembangunan dan Komersial yang sekarang dikenali sebagai bank RHB.

Beliau meninggal dunia pada 1988 di Kuala Lumpur. Jalan Bandar yang pada mulanya dikenali High Street kemudian dinamakan semula sebagai Jalan Tun H.S. Lee untuk mengiktirafnya.


Pemasyhuran Kemerdekaan

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 telah ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu yang ditulis Jawi dan bahasa Inggeris.
Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan yang telah di alih ke versi rumi.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.
Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.
Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.
Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.
Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

Sinar Pembangunan Merdeka

Kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 perlu dibajai supaya pengisisannya dapat dinikmati oeleh setiap lapisan masyarakat. Tun Abdul Razak Bin Dato' Hussein yang mula memegang tampuk pemerintahan selaku Perdana Menteri pada 22 September 1970telah meneruskan dasar pembangunan dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada Julai 1971 yang mana telah memberi tumpuan pada usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. Untuk mencapai hasrat tersebut, Tun Abdul Razak telah mengorak langkah dengan memperkenalkan Rancangan Buku Hijau pada tahun 1974 sebagai sambungan kepada Rancangan Buku Merah 1960. Melalui rancangan ini kerajaan berazam untuk menggunakan sepenuhnya tanah terbiar serta meneroka kawasan baru untuk pertanian. Atas kesedaran bahawa agihan ekonomi dan pembangunan yang stabil menjadi pemangkin kepada kestabilan negara, Tun Abdul Razak menggalakkan penghijrahan orang kampung ke bandar untuk memecah tradisi lapuk, " Selagi orang melayu di luar bandar bercucuk tanam, orang cina memenuhi bandar kerana berniaga dan orang india sebagai pekerja ladang, maka selama itulah perimbangan ekonomi antara kaum tidak dapat diwujudkan". (Pekan, 1 Mei 1971). Untuk terus meningkatkan taraf hidup rakyat, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan pelbagai gerakan seperti  Gerakan Maju, Gerakan Jaya Diri dan Gerakan Pembaharuan. Gerakan ini bertujuan menyuntik semangat dan kesedaran masyarakat khususnya orang melayu supaya mereka aktif merancang pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan.
Melalui dasar ekonomi baru, beberapa agensi penggerak seperti Perbadanan Nasional (PERNAS), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Bank Bumiputra serta Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS) telah menjadi jentera pembangunan untuk memacu ekonomi negara. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) menjadi usaha Tun Abdul Razak untuk seluruh rakyat Malaysia.
Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada tahu 1970 sebagai wadah untuk mencapai matlamat Dasar Pelajaran Kebangsaan. Selain matmalamat menjadikan bahasa nekayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, dasar ini juga bertujuan melahirkan masyarakat bersatu padu dan berdisiplin serta melahirkan rakyat yang terlatih untuk pembangunan negara. Tun Abdul Razak telah mengabil tindakan politik yang berani dengan mengadakan hubungan diplomatik dengan Negara Cina Komunis pada 28 Mei 1974. Ikatan hubungan politik ini dapat menyekat sokongan negara komunis dengan Parti Komunis Malaya (PKM) serta memberikan peluang-peluang perdagangan dua hala untuk pembangunan negara.











Sejarah Kemerdekaan

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.  
Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.
Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 berjaya mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan.
Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya  dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol,  begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.


Perjuangan Kemerdekaan

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 merupakan saat bermulanya penentangan orang Melayu terhadap penjajahan kuasa luar.  Selepas Belanda mengalahkan Portugis dan menduduki Melaka pada tahun 1641, perjuangan menentang penjajah oleh pemerintah dan rakyat tempatan berterusan seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada ketika ini, lahirlah tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun 1784 menentang Belanda sehingga beliau akhirnya terkorban di Telok Ketapang.
Kehadiran British ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1786 telah menyemarakkan lagi usaha penentangan orang Melayu terhadap penjajah terutama apabila British mula mencampuri urusan pentadbiran tempatan. Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu malah juga di Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-British memperlihatkan gelombang penentangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Penghulu Dol Said di Naning, Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti dan Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah di Perak, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Raja Mahadi di Selangor, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak serta Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah. Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun semangat juang mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan tanah air wajar disanjung.
Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata pena. Arus kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-20. Antaranya, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Muhammad Akil, Sheikh Awad Saidin dan Haji Abas Taha. Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.
Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa orang tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Harun Muhammad Amin, Abdul Hadi bin Hassan, Burhanuddin Al-Helmi dan Abdul Rahim Kajai. Dalam perkembangan seterusnya menyaksikan beberapa buah parti politik dan persatuan yang ditubuhkan bagi melahirkan gerakan penentangan yang lebih bersepadu.
Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941 dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula Februari 1942 hingga September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman yang pahit kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar terhadap persekitaran dan perkembangan yang berlaku. Jepun turut menyemaikan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu supaya membenci British melalui cerapan ideologi ’Asia Untuk Asia’.
Arus kebangkitan semangat nasionalisme peringkat kedua telah diperlihatkan melalui gerakan penentangan hebat terhadap Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946 setelah British mengambil alih semula pentadbiran Tanah Melayu dari tangan Jepun. Penubuhan PEKEMBAR (UMNO) pada 11 Mei 1946 menggabungkan suara pertubuhan-pertubuhan Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union. Penentangan secara bersepadu ini telah membuahkan hasil apabila Malayan Union dibubarkan. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan pada 1 Februari 1948.
Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn kepada Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme peringkat ketiga iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Serentak itu, slogan ’Hidup Melayu’ diubah kepada ’Merdeka’ sesuai dengan perubahan matlamat perjuangan UMNO. Sebagaimana ucapan Tunku Abdul Rahman Putra di Persidangan Agong Pemuda UMNO pada 3 April 1953, ”cogan Hidup Melayu bermakna kita sedia duduk di bawah naungan British dan berjuang untuk menyelamatkan kedudukan bangsa kita serta merebut kelebihan bangsa kita dengan belas rahim British. Tetapi slogan Merdeka itu bermakna kita bebaskan diri kita dari naungan British dan berdiri di atas kaki kita sendiri. Bagi menyelamat dan mendapatkan kelebihan-kelebihan untuk bangsa kita, terpulanglah kepada kita sendiri dan tidak lagi berharapkan belas rahim British lagi”.
Perjuangan menuntut kemerdekaan diperteguhkan dengan permuafakatan melalui PERIKATAN di antara orang-orang Melayu, Cina dan India di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Paduan tenaga setiap golongan masyarakat dalam ruang lingkup yang tersendiri seperti guru, wartawan dan penulis, ahli-ahli politik dan juga pihak istana semakin membakar semangat dan memperteguhkan lagi tekad untuk segera mendapatkan kemerdekaan bagi negara ini.
Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan-desakan para pejuang maka pada awal tahun 1956, rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah berangkat ke London bagi mengadakan  rundingan dengan pihak British. Rundingan ini membawa kepada termeterainya perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956. Kepulangan rombongan ini disambut meriah di Melaka. Padang Banda Hilir, Melaka menjadi saksi pada 20 Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan negara amat unik kerana ia dicapai melalui meja rundingan tanpa melibatkan penumpahan darah.
Nyatalah, kemerdekaan yang dikecapi kini perlu dipertahankan kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Perjuangan menuntut kemerdekaan negara terpaksa melalui ranjau penuh duri dalam tempoh yang amat panjang. Justeru, semangat dan pengorbanan para pejuang lalu perlu dijadikan wadah untuk kita menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta.


Rentetan Peristiwa Pengistiharan Tarikh Kemerdekaan


01Januari1956
Rombongan Rundingan Kemerdekaan
Rombongan Kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan menaiki kapal laut bernama M.V. Asia.

Dari kiri: Datuk Ahmad Kamil, Datuk Dr Ismail, Datuk Hj Abdul Wahab, YTM Tunku Abdul   Rahman, Dato' Mohammad Seth, Kolonel Sir H.S. Lee, Dato' Abdul Aziz Majid dan Datuk Abdul Razak Barisan belakang: T.H. Tan(Setiusaha Wakil Perikatan) dan Abdul Kadis Shamsuddin (Setiuasaha wakil Raja-raja)


Seramai 10,000 orang yang sebilangan besar terdiri daripada ahli-ahli UMNO telah menghantar Rombongan Kemerdekaan di Pelabuhan Tanjung Pagar, Singapura.


 Keratan Akhbar Melayu, 6 Januari 1956 yang menunjukkan kapal laut M.V. Asia ke Karachi, Pakistan.

Keratan Akhbar Utusan Melayu, Rombongan Kemerdekaan yang diketuai oleh YTM Tunku sedang berbincang di Lancaster House.
8 Januari 1956
YTM Tunku dan Lennox Boyd(Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.
20 Februari 1956 (11.00 pagi)
YTM Tunku yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dengan Malayan Airways.




20 Februari 1956
Rombongan Merdeka yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman disambut oleh lebih kurang 1,000 jawatankuasa penyambut daripada Parti Perikatan semasa tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.


20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman, Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Hj. Abdul Wahab Abdul Aziz dan Leong Yew Koh telah diarak dengan kereta berwarna hitam bernombor plat M 4442 dari Batu Berendam hingga ke Klebang untuk berehat di rumah Tan Cheng Lock.

20 Februari 1956
Rombongan Kemerdekaan berehat seketika di rumah Tan Cheng Lock di Klebang, Melaka dalam perjalanan dari Batu Berendam ke Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956 (3.30 petang)
Rombongan Kemerdekaan tiba di Padang Bandar Hilir, Melaka

20 Februari 1956
Orang ramai melaungkan 'Merdeka'setibanya Rombongan Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka

20 Februari 1956
En Ghafar Baba, mempengerusikan perhimpunan raksasa di Padang Bandar Hilir, Melaka



20 Februari 1956
YTM Tunku menjulang keris yang dihadiahkan oleh kaum ibu UMNO Melaka yang diwakili oleh Puan Zainab bt Samdin.


20 Februari 1956
Datuk Abdul Hamid Jumat, Ketua Cawangan UMNO Singapura sedang menyerahkan Peta Persekutuan Tanah Melayu termasuk Singapura pada YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir, Melaka.



20 Februari 1956
Orang ramai mendengar ucapan YTM Tunku Abdul Rahman di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Ucapan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Haji Abdul Wahab di Padang Bandar Hilir, Melaka

20 Februari 1956
Ucapan wakil MCA Leong Yew Koh di Padang Bandar Hilir, Melaka



20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman membaca Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan yang disusun oleh En Senu Abdul Rahman, Tn Syed Nasir Ismail dan ditulis oleh En Ibrahim Mahmood (Pengarang Akhbar Merdeka).


20 Februari 1956
Dr. Ismail (kiri) dan Dato' Abdul Razak (kanan) turut menandatangani pengisytiharan tarikh Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Malayu yang ditandatangani oleh ahli-ahli Rombongan Merdeka di Padang Bandar Hilir, Melaka


20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA'




Tun Hussein Onn

Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia!

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn

Dipetik dari Tulisan Mohamed Yosri Mohamed Yong tahun 2002



Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn (Tun Hussein Onn)
Perdana Menteri Ketiga (1976-1981)
"Penyambung Warisan Yang Terbilang"

Era 
Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah anakanda kepada Allahyarham Dato' Onn bin Jaafar yang memimpin ke arah penubuhan UMNO, malah Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn sendiri adalah salah seorang pengasas UMNO. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan merupakan cahayamata kepada Dato Onn Jaafar dan Datin Halimah Hussein. Setelah berkhidmat selama hampir 5 tahun sebagai Perdana Menteri yang ke 3, Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan. Pada 29 Mei 1990, Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn meninggal dunia dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.


Asal Usul

Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn menerima pendidikan awal di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahr u. Malangnya pendidikan Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn tidak dapat diteruskan selepas menamatkan Senior Cambridge kerana meletusnya Perang Dunia ke II. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn terus menyertai Pasukan Tentera Johor (Johor Military Forces) dan menjalani latihannya di Maktab Tentera Sandhurst di Dehra Dun, India dan setelah ditauliahkan Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn menyertai Regimen Hyderabad ke 19. Perkhidmatan Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn sebagai Kapten tentera membawa beliau ke Mesir, Syria, Palestine, Iran dan Iraq.
Bermula tahun 1942 Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi.
Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.
Apabila Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn kembali ke Tanah Melayu dan memulakan tugasnya sebagai Pemerintah Polis Depot, di Johor Bahru. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa.



Kemudiannya Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn menjadi ahli Perkhidmatan Pentadbiran Melayu. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn dihantar ke beberapa tempat di Johor dan Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah.
Semangat Allahyarham Datuk Onn b Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudian menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila ayahandanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Allahyarham Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Disamping penglibatannya dalam politik, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1950 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
Walau bagaimanapun penglibatan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila Datuk Onn bin Jaafar menarik diri dari UMNO, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudianya menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya meninggalkan alam politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus pada tahun 1958.
Sekembalinya ke tanah air Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu beliau telah pun berumah tangga dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Hj Mohd Noah dan mempunyai 6 orang anak.Ibarat sireh pulang ke ganggang beliau menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Yang DiPertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Walaupun Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah lama menghilangkan diri dari arena politik, tapi UMNO yang mempunyai kepercayaan atas kebolehan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah sahaja pada Mei 1969.

Peranan Dan Sumbangan 
Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Perdana Menteri Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Di bawah pentadbiran Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972, beliau menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih. Di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail.
Apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973, merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Kepulangan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein ke Rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan seluruh negara. Berikutan itu dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada 1978 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Ketika menjadi Perdana Menteri Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein khususnya dalam menggerakkan 'Dasar Ekonomi Baru'.
Sebagai seorang perwira, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn fasih tentang hal ehwal keselamatan. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi rantau Asia Tenggara ketika itu gempar ekoran jatuhnya Vietnam Selatan ke tangan komunis dan termashyurnya cita-cita 'Teori Domino' komunis. Semasa pentadbirannya usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan di bandar-bandar semasa tempoh darurat, telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan (intelligen) yang berjaya.
Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang melayari Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang diketegahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru.
Walaupun pada masa itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn berjaya mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pernah menjalani rawatan jantung pada awal 1981. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn berjaya melancarkan Rancangan Malaysia yang ke 4 pada bulan April 1981. Seperti bapanya, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil politik dan ekonominya. Sumbangan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh. Akibat kesihatan beliau yang merosot, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir bin Mohamad pada 18 Julai 1981. Tetapi beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS.

Keistimewaan 
Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal-ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman ketenteraan menjadikan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memberi kebebasan akhbar dan majalah untuk memberi kritikan dan komentar dengan harapan ini akan meningkatkan prestasi pentadbirannya. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur dan beliau disanjungi oleh masyarakat Malaysia sebagai seorang pemimpin.
Dalam sejarah, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai 'Penyambung Warisan Yang Terbilang'. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn juga dikenali sebagai 'Bapa Perpaduan' kerana berjaya memupuk semangat perpaduan berbilang kaum yang lebih erat dalam masyarakat Malaysia. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya, mewarisi program pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh setia. Malah Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pula mewariskan kerajaan kepada Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan UMNO dalam keadaan yang begitu kukuh.
Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 dalam usia 68 tahun di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara. Tun Hussein Onn kini dikenang sebagai Bapa Perpaduan bagi mengenangkan segala jasa dan usahanya dalam memupuk perpaduan di negara ini.